suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Imbau kenangan sedekad! Ribuan peminat banjiri Konsert Ejen Ali, siap ‘belanja’ teaser baharu 2028

Konsert Ejen Ali dimeriahkan dengan kehadiran peminat cilik dan dewasa.

FULL house! Kira-kira 3,000 penonton membanjiri Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menyaksikan Ejen Ali In Concert yang berlangsung penuh meriah pada malam Sabtu.

Konsert anjuran WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios itu diadakan bersempena ulang tahun ke-10 animasi Ejen Ali, menampilkan lagu-lagu ikonik daripada siri animasi dan filem berkenaan yang mengimbau perjalanan karya itu sepanjang sedekad.

Lebih istimewa, persembahan secara okestra selama dua jam itu menampilkan barisan artis undangan termasuk Malik Choo yang menyampaikan lagu Kita Jaga Kita, Mariam Saim menerusi Bukalah Matamu bersama Bunga serta Santesh dengan lagu Mamak Maju.

Bunga (kiri) dan Hael memeriahkan lagi konsert Ejen Ali.

Turut memeriahkan pentas ialah Hael Husaini menerusi lagu Penjuara, FUGO dengan Some Other Day, selain Zaki Yamani yang menyampaikan Teman Sejati dan Hanya Kamu.

Tidak ketinggalan, pelakon suara rasmi watak Ejen Ali, Ida Rahayu, turut membuat penampilan sulung menerusi persembahan lagu Mama (Di Hatimu) dan Akan Sentiasa Dengan Kamu.

Menambahkan keunikan konsert tersebut, kesemua lagu dipersembahkan dalam susunan muzik eksklusif hasil sentuhan komposer Azri Yunus.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ejen Ali The Movie 2’ kutip RM40.6 juta dalam masa 13 hari tayangan, filem animasi nombor satu di Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu lepas kahwin, pengarah animasi Ejen Ali meninggal dunia... Mayat ditemukan selepas sehari hilang

Azri menyusun semula skor muzik dan lagu ikonik Ejen Ali dalam skala orkestra lebih besar menerusi gabungan elemen elektronik moden serta instrumen secara langsung.

Gubahan itu turut mengetengahkan elemen tradisional Nusantara yang digabungkan dengan bunyi moden, selain menampilkan beberapa medley khas dan susunan semula lagu ikonik yang belum pernah diperdengarkan di platform lain.

Keseluruhan persembahan diiringi 41 pemuzik daripada KL City Opera (KLCO) di bawah pimpinan konduktor Koi Min.

Peminat berpuas hati dengan persembahan mantap artis undangan.

Secara keseluruhan, konsert berkenaan menampilkan 22 lagu ikonik Ejen Ali termasuk gubahan muzik eksklusif dan medley khas yang memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

Sementara itu, pengasas dan pengarah urusan WAU Animation iaitu Usamah Zaid Yasin meluahkan rasa syukur apabila karya animasi tersebut berjaya bertahan selama sedekad meskipun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

Menurutnya, perjalanan selama 10 tahun itu bukan sesuatu yang mudah, malah pihaknya melalui pelbagai fasa suka dan duka dalam menghasilkan karya berkenaan.

Zaki dan  Ida Rahayu (kanan) turut muncul membawakan lagu masing-masing.

“Tiga musim, dua filem. Dari dahulu sampai sekarang, anda semua boleh melihat perbezaannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan konsert berkenaan sebagai peluang untuk mengimbau semula perjalanan Ejen Ali sepanjang 10 tahun menerusi persembahan yang menggabungkan muzik dan emosi.

Lebih mencuri perhatian, acara berkenaan turut diakhiri dengan kejutan istimewa apabila penonton dipertontonkan teaser bagi perjalanan seterusnya Ejen Ali yang dijadualkan menemui peminat pada 2028.

Artikel Lain